Wednesday, March 10, 2010

Hadith-hadith tentang Ilmu...

عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي وَلَنْ تَزَالَ هَذِهِ الْأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. (البخاري ومسلم)

Dari Muawiyah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah, tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah."(Bukhari dan Muslim)

(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama.

(2) Allah jualah yang mengurniakan ilmu pengetahuan.

(3) Sebahagian dari umat Muhammad s.a.w. tetap terus menjalankan kebenaran.

Huraiannya:

(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama:

Di antara ilmu-ilmu agama yang utama sekali pada nilaian Allah Taala ialah ilmu agama yang telah diwahyukannya kepada Rasul-Nya. Sebabnya kerana ilmu agama ini diturunkan oleh Allah Taala dengan dua tujuan:

Pertama: - kerana mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan mengatur hubungan manusia dengan Allah `Azza wa Jalla. Dengan ilmu agama ini Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang akan hiduplah ia dengan saudara-saudaranya - manusia yang lain - dalam keadaan kasih mesra dan bersih suci dari perasaan hasad dengki.

Kedua - dengan ilmu agama ini juga Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan Tuhan akan berjayalah ia mencapai keredhaan-Nya, iaitu dengan menjadikan dia berkehidupan bahagia di dunia dan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Jika demikian natijah mengetahui ilmu agama, maka sudah tentu kejahilan terhadapnya membawa kecelakaan di dunia dan pada hari balasan.

Hadis ini menerangkan bahawa ilmu pengetahuan yang sayugianya tiap-tiap seorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatnya ialah ilmu pengetahuan yang membawa keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Maka sesiapa yang Allah kehendaki beroleh kebaikan, disebabkan usahanya bersungguh-sungguh mencari yang demikian, nescaya Allah jadikan dia seorang yang memahami ilmu agama Islam dengan secara mendalam kerana agama Islam dan ilmu-ilmunya adalah dari Allah untuk kebaikan umat manusia di dunia dan di akhirat, meliputi jasmani dan rohaninya.

(2) Allah jua yang mengurniakan ilmu pengetahuan:

Sebagaimana yang sedia maklum, bahawa sesuatu perkara yang dihajati tidak akan tercapai melainkan dengan menjalankan usaha yang bersungguh-sungguh dan menurut peraturan yang tertentu, lebih-lebih lagi ilmu pengetahuan agama, itupun tidak cukup melainkan dengan adanya pertolongan dan limpah kurnia Allah memberikan orang itu persediaan untuk memahami makna dan maksud sesuatu masalah yang dituntut itu sekadar kemampuannya.

Rasulullah s.a.w. telah pun menyampai dan membahagikan segala apa yang diperintahkan dengan sehabis-habis daya usahanya dengan tidak mengutamakan seseorang atau sesuatu kaum dan yang lain dengan cara yang demikian sepatutnya orang-orang yang menerima itu sama keadaannya tentang faham dan pendapatnya mengenai perkara yang disampai dan dibahagikan oleh Baginda, tetapi apa yang telah berlaku adalah berlainan. Demikian pula halnya alim ulama yang menjadi waris Baginda untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agama, mereka hanya menyampaikan dan menerangkan sekadar yang diilhamkan Allah kepada mereka untuk berbuat demikian.

Tentang adanya perbezaan faham - dalam dan ceteknya, luas dan sempitnya - di antara orang-orang yang menerima penyampaian itu mengenai rahsia sesuatu hukum syarak maka yang demikian bukanlah tanggungan pihak yang menyampaikan bahkan fahaman yang luas dan mendalam itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut peraturan-Nya.

(3) Sebahagian dari umat Muhammad S.A.W. tetap terus menjalankan kebenaran.

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberikan berita gembira tentang kebenaran agama Islam - dengan sifatnya agama yang diturunkan oleh Allah Taala untuk kebaikan jasmani dan rohani serta kebahagiaan dunia dan akhirat - tetap terpelihara sekalipun dicuaikan dan tidak dihargai oleh golongan-golongan yang hanya mementingkan kebendaan semata-mata sebagaimana yang ternyata pada masa akhir-akhir ini.

Agama Islam yang demikian keadaannya tetap dijalankan oleh sebahagian dari umatnya dengan tidak tercacat bawaan mereka oleh sebarang angkara dari pihak yang menyalahinya sehingga datang perintah Allah `Azza wa Jalla mematikan sekalian orang yang beriman dan tinggallah sahaja orang-orang yang tidak tahu menyebut nama "Allah" pun, maka pada zaman mereka inilah akan berlakunya hari qiamat.

Hadis ini juga memberi semangat dan menjamin keselamatan orang-orang Islam yang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya dengan sempurna.

0 comments: